Dikuasakan oleh Blogger.

25 Disember 2011

15 TAHUN TANPA WANG

Saya rasa ramai di antara kita pernah mendengar bahawa "wang bukanlah segalanya tapi segalanya memerlukan wang". Wanita dalam berita di atas membektikan bahawa pernyataan itu tidak sepenuhnya benar. :D

Sumber: Berita Minggu [Rona] Ahad, 25 Disember 2011, m/s: 3

31 Ogos 2011

KOREA BELI EMAS USD 1 BILLION


Sumber: Utusan 03.08.2011 m/s 18 [Bisnes]

Harga emas meningkat begitu tinggi akhir-akhir ini. Malah pada akhir bulan Ogos 2011 ini harga emas hampir mencecah USD 1900/oz. Itu adalah harga emas tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah umat manusia. Saya tidak pasti apakah punca sebenar yang boleh menyebabkan harga emas menjadi begitu tinggi. Boleh jai keratan akhbar di atas merupakan salah satu puncanya. Wallahu ta'ala a'lam.

22 Ogos 2011

KEUNTUNGAN SELEPAS 8 BULAN

Masih 4 bulan lagi sebelum tarikh 23 Disember 2011. Mungkin Anda tertanya-tanya ada apa dengan tarikh tersebut? Pada tarikh itu genap setahun Muhammad Aiman Na'im Bin Nor Amizi, salah seorang pelajar saya, menjadi seorang Pelabur Emas Paling Muda. :)

Walaupun belum genap setahun, tidak ada salahnya jika saya cuba untuk menghitung berapakah keuntungan yang sudah didapat olehnya setakat ini.

Aiman membeli dinar pada harga RM 630
Harga dinar sekarang ini (katakanlah) RM 810


Keuntungan dalam RM

RM 810 - RM 630 = RM 180


Keuntungan dalam %

= (RM 810 - RM 630) / RM 630
= 180 / 630
= 0.2857
= 28.57%


Kesimpulan

Jadi, keuntungan yang didapat dalam masa 8 bulan sahaja adalah sebanyak RM 180 atau 28.57%. Keuntungan yang sangat lumayan. :)

Bagi lebih memperjelas kiraan di atas, sila lihat kiraan berikut ini:

= RM 630 x 28.57%
= RM 179.991 atau kalau dibulatkan menjadi RM 180

= RM 630 + RM 180
= RM 810 (harga dinar sekarang)


Perbandingan

Jika dibandingkan kawan-kawannya yang menyimpan wang di bank, Tabung Haji atau tempat simpanan yang lainnya dalam jumlah yang sama iaitu RM 630 pada tahun lepas, berapakah keuntungan yang mereka dapat sekarang?

Atau berapakah baki wang mereka sekarang? Masih kekal RM 630? Ataukah telah bertambah? ataukah sudah berkurang?

Kalau bertambah, berapakah pertambahan yang mereka dapat (dalam RM dan %)?

Jika mengambil kira inflasi yang berlaku sebanyak kira-kira 4% setahun, tinggal berapakah kuasa beli RM 630 itu sekarang?

Jika pada tahun lalu RM 630 mampu membeli 1 dinar, iaitu emas 916 seberat 4.25 gram, sekarang RM 630 hanya cukup untuk membeli emas 916 seberat kira-kira hanya 3.5 gram sahaja.


Aiman telah mengambil langkah bijak kerana menukarkan sebahagian wangnya dalam bentuk emas (dinar). Sebahagian pelajar-pelajar saya yang lain juga telah mengambil langkah yang juga bijak kerana telah menukarkan wang mereka ke dalam bentuk perak (dirham). Semoga lebih ramai lagi kawan-kawan yang mengikuti langkah bijak mereka. :)

03 Ogos 2011

KIRAAN INFLASI DUIT RINGGIT MELALUI GAJI GURU 1907 DAN 2011 DAN HARGA BERAS


Tulisan ini bertujuan untuk memberi gambaran tentang inflasi yang berlaku dalam kurun masa 104 tahun.

Sebelum membaca, persiapkan diri Anda! Kerana tulisan ini banyak menerangkan tentang proses pengiraan dan sedikit panjang yang mungkin agak berat bagi sesetengah orang. :)

Akan lebih memudahkan Anda jika ada calculator bersama Anda ketika membaca tulisan ini. :)

Sebelumnya penulis akan menunjukkan gambar wang 1 ringgit pada tahun 1907.
Berat: 26.95 gram dan kalau digenapkan menjadi 27 gram
Kandungan perak: 90 % atau [20 gram x 90 / 100] = 24.30 gram
SENARIO PADA TAHUN 1907

Pada tahun 1907, gaji seorang guru di Pulau Pinang dilakarkan seperti berikut,

"Their salary (teacher) was about $ 80 a month. Rice was sold at 8 gantang for a dollar (ringgit)."

Maksudnya: Gaji seorang guru kira-kira 80 ringgit sebulan. Beras dijual pada harga 8 gantang untuk setiap ringgit.


Pada petikan di atas terdapat perkataan "gantang". Apa itu gantang? Merujuk masyarakat pada ketika itu 1 gantang ialah 32 imperial galon. 1 imperial galon pula kira-kira 4.56 liter atau 1.2 US galon.

_________________________________________________________

Melalui ujikaji yang dibuat oleh sahabat dari penulis asal, beliau menggunakan beras jenama "AAA Beras Bukit", berat 1 liter bersamaan dengan 820 gram atau 0.82 kilo gram.

Jadi 1 imperial galon bersamaan dengan,

4.56 liter x 0.82 kilo gram = 3.739 kilo gram atau kalau digenapkan menjadi 3.74 kilo gram

Dan 1 gantang pula bersamaan dengan,

32 imperial galon x 3.74 kilo gram = 119.68 kilo gram

Kesimpulannya, 1 gantang beras bersamaan dengan 119.68 kilo gram beras
_________________________________________________________

Jika pada tahun 1907 setiap ringgit boleh membeli 8 gantang beras, maka ketika itu 1 ringgit boleh membeli [8 gantang x 119.68 kilo gram] = 957.44 kilo gram beras.

Ketika itu seorang guru yang bergaji $ 80 sebulan boleh membeli [$ 80 x 957.44 kilo gram] = 76 595.20 kilo gram beras.

Jadi secara kasarnya gaji seorang guru pada tahun 1907 adalah $ 80 atau bersamaan dengan 76 595.20 kilo gram beras.

SENARIO PADA TAHUN 2011

Sekarang mari kita mengira gaji guru-guru kita pada hari ini sebagai perbandingan. Katakanlah gaji guru sekarang paling banyak adalah RM 5 000. [Hampir 2 x gaji saya tu! :D]

Harga 1 kilo gram beras pada hari ini adalah RM 3.20

RM 5 000 / RM 3.20 = 1 562.50 kilo gram beras

Bermakna seorang guru yang memiliki gaji sebanyak RM 5 000 pada hari ini bersamaan dengan 1 562.50 kilo gram beras.

PERBANDINGAN [BAHAGIAN 1]

Cuba bandingkan antara gaji guru tahun 1907 dan tahun 2011

1907: RM 80 = 76 595.20 kilo gram beras

2011: RM 5000 = 1562.5 kilo gram beras

Ada beza tak?

Tahun 1907 setiap ringgit boleh beli 957 kilo gram beras

Tahun 2011 setiap ringgit hanya boleh beli 0.312 kilo gram atau 312 gram beras sahaja

UKURAN GANTANG YANG LEBIH KECIL

Kalau kita lihat dari kiraan di atas, sepertinya agak keterlaluan jika dikatakan bahwa RM 1 boleh beli hampir 1 tan beras! Melampau betul!

Jika memang demikian, kita cuba kira kembali dengan menggunakan sukatan gantang selepas merdeka. Ukuran gantang selepas merdeka ini agak lebih kecil.
_________________________________________________________
1 gantang = 4 cupak = 2.8 kilo gram

_________________________________________________________

Jika pada tahun 1907 setiap 1 ringgit boleh membeli 8 gantang gantang [8 gantang x 2.8 kilo gram ] = 22.40 kilo gram beras, maka seorang guru yang bergaji $ 80 sebulan boleh membeli [$ 80 x 22.40 kilo gram] = 1 792 kilo gram beras.

Jadi secara kasarnya gaji seorang guru pada tahun 1907 adalah $ 80 atau bersamaan dengan 1 792 kilo gram beras.

PERBANDINGAN [BAHAGIAN 2]

Cuba bandingkan sekali lagi antara gaji guru tahun 1907 dan tahun 2011

1907: RM 80 = 1 792 kilo gram beras

2011: RM 5000 = 1 562.5 kilo gram beras

Ada beza tak?

KIRAAN INFLASI

Jadi, sebenarnya inflasi ringgit itu bersamaan :

Tahun 1907 setiap ringgit boleh beli 22.40 kilo gram beras

Tahun 2011 setiap ringgit hanya boleh beli 0.312 kilo gram atau 312 gram beras sahaja

Kehilangan nilai ringgit 1907 kepada 2011 adalah

RINGGIT SUSUT NILAI SEBANYAK 99%!

Nilai Ringgit berbanding beras susut sebanyak 98.6071% i.e.

[ (0.312 kg – 22.4kg ) / 22.4 kg ] x 100%.

Perhatikan bahawa jika syiling ringgit perak 27 gram dijual sebagai “raw silver” pada harga “runtuh” RM 3.00/gram, maka syiling tersebut bernilai,

27gram x RM 3.00/gram = RM 81

Katalah 1 kilo gram beras = RM 3.20

Maka syiling ringgit perak setara dengan,
RM 81 / RM 3.20 = 25.31 kilo gram beras

hampir sama dengan kesetaraan pada tahun 1907, iaitu 22.4 kilo gram beras

Bukankah ini bukti bahawa koin perak menyimpan nilai walaupun masa telah berlalu selama 104 tahun.

25 Julai 2011

RINGGIT ASALNYA ADALAH PERAK

Ringgit adalah mata wang negara Malaysia. Bentuk singkatan yang biasa digunakan oleh masyarakat tempatan untuk ringgit adalah RM (Ringgit Malaysia), sedangkan bagi masyarakat antara bangsa adalah MYR (Malaysian Ringgit).

Namun tahukah Anda bahawa suatu ketika dulu ringgit adalah syiling perak? Beginilah rupa ringgit tersebut. Cuba perhatikan, di tengah syiling ini ada tulisan jawi "SATU RINGGIT"

Wang di atas juga dikenali dengan wang syiling 1 Dollar King Edward VII (1907-1909) Straits Settlements. Beratnya adalah 26.95 gram, diameter 37.3 mm dan mengandungi 90% perak.

23 Mei 2011

SET DIRHAM SEBAGAI CENDERAMATA

Pada bulan April yang lepas warga Maahad Tahfiz Negeri Pahang, tempah saya berkhidmat, telah mengadakan lawatan ke beberapa destinasi di Lembah Klang.

Di antara tempat-tempat yang dilawati ialah:
  • Masjid USJ Subang Jaya
  • I-City
  • Kilang Proton Shah Alam
  • Kuala Lumpur International Book Fair 2011 di PWTC
Program lawatan ini ditaja sepenuhnya oleh ibu bapa salah seorang pelajar. Sebagai ucapan terima kasih, sekurang-kurangnya pihak Maahad perlu memberikan sesuatu yang istimewa sebagai cendera mata. Ketika itu saya mencadangkan untuk memberikan dirham sebagai cendera mata.

Cadangan tersebut disepakati dan akhirnya jadilah 1, 2, 5 dan 10 dirham tersebut seperti gambar di bawah ini. :)
Mungkin Anda ingin mengenal siapakah penaja program ini. Sila perhatikan baik-baik gambar di bawah ini. :)

P/s: Lawatan warga MTNP ke kilang Proton KLCC bertepatan ketika penyerahan kereta Proton Inspira kepada jaguh badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei. :D

22 Mei 2011

DIRHAM SEBAGAI HADIAH

Jika sebelun ini saya suka menghadiahkan buku sebagai hadiah, kini selain buku saya suka menjadikan dirham sebagai alternatif hadiah sama ada untuk hari jadi, perkahwinan dan lainnya.

Saya pernah mencadangkan hal ini di dalam group facebook Dinar dan Dirham. Sila klik di [sini] bagi membaca cadangan tersebut beserta komentar rakan-rakan tentang hal itu.

Ini adalah sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan mata wang syariah ini di tengah-tengah masyarakat. Bagi memudahkan untuk mencapai maksud tersebut, sertakan juga brosur yang menerangkan secara ringkas tentang mata wang syariah itu beserta kelebihannya.

Gambar di atas adalah salah satu bentuk hadiah yang saya persembahkan sempena perkahwinan sahabat saya dan isteri saya pada 30 April 2011. :)

11 April 2011

BERURUS NIAGA DENGAN MATA WANG HAKIKI

Dua minggu yang lepas saya membeli peti ais dari sahabat saya, Saudara Hafiz, dengan harga 17 dirham. Harga dirham ketika itu ialah RM 25. Bermakna17 dirham x RM 25 = RM 425.

Untuk pengetahuan Anda, saya telah mendapatkan dirham tersebut pada harga RM 24/dirham. Bermakna jika dihitung kembali, saya hanya membeyar peti ais tersebut dengan harga 17 dirham x RM 24 = RM 408. Saya telah melakukan penjimatan sebanyak RM 17. :)

Sehari kemudian, harga dirham naik RM 1, bermakna sahabat saya telah mendapat untung RM 17 dari kenaikan harga dirham. Jika sekarang harga dirham sudah RM 27, keuntungan sahabat saya telah bertambah RM 17 lagi. Tunggu sampai esok! Jika analisis teknikal hari ini tepat, esok harga dirham akan naik lagi sekurang-kurangnya RM 1.
Jika kita lihat dengan lebih mendalam, kita akan mendapati bahawa sahabat saya (penjual barang) mendapat untung lebih banyak dari saya (pembeli). Kalau Anda adalah seorang peniaga dan ingin perniagaan Anda lebih menguntungkan, terimalah dinar dan dirham sebagai alat pembayaran. Di samping perniagaan Anda lebih untung, mudah-mudahan rezeki Anda menjadi lebih berkat dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Berurus niaga dengan mata wang hakiki memang menguntungkan bagi kedua belah pihak. Pembeli untung. Penjual lagi untung.

10 April 2011

SENARAI PEMBELI DIRHAM

Sejak awal bulan April 2011, beberapa orang telah menukar wang fiat mereka dengan dirham. Saya sendiri pada awalnya tidak menyangka 235 dirham yang baru saya dapat pada hari Sabtu, 2hb April hampir habis dalam masa kurang dari seminggu. Berikut ini adalah senarai nama beberapa orang yang telah menukar wang fiat mereka dengan saya.
  • Tuan Wahiduddin, ayah mertua saya :) - 50 dirham
  • Ustaz Abdullah, pensyarah MTNP - 30 dirham
  • Ustaz Ibrahim, pensyarah MTNP - 2 dirham
  • En. Hafiz, ahli usrah saya - 46 dirham
  • Ustaz Shafarul, pensyarah MTNP - 13 dirham
  • Ustazah Salma, guru bahasa Arab USIM - 25
  • Ustazah Manal, guru bahasa Arab USIM - 21 diham
  • Ucu, Mak Su dari isteri saya - 4 dirham
  • Ustazah Norita, mahasiswa master UKM - 1 dirham
  • Ustaz Sukri, pensyarah MTNP - 2 dirham
  • Nasiruddin, pelajar diploma MTNP - 5 dirham
  • Kamarul, pelajar diploma MTNP - 2 dirham
  • Cik Rubi, pelajar UIA Kuantan- 5 dirham
  • Aiman Ridwan, pelajar tingkatan 2 MTNP - 10 dirham
  • Luqman Al-Hakim, pelajar tingkatan 1 MTNP - 1 dirham
  • Ahmada, pelajar tingkatan 1 MTNP - 1 dirham
  • Adam Faliq, pelajar tingkatan 2 MTNP - 2 dirham
  • Azhan, pelajar tingkatan 2 MTNP - 1 dirham
  • Ramadhan, pelajar tingkatan 1 MTNP - 2 dirham
  • Iqbal, pelajar tingkatan 1 MTNP - 2 dirham
  • Selebihnya untuk simpanan saya sendiri
Disebabkan bekalan dirham saya tinggal sedikit, pada hari Selasa, 4 April saya telah mendapatkan bekalan baru sebanyak 14 dirham serta membuat tempahan baru sebanyak 200 dirham pada hari Rabu, 5 April dan mendapatkannya pada hari Jumaat 7hb April. Berikut ini adalah senarai beberapa nama yang telah menukar wang fiat mereka dengan saya.
  • En. Ismaizam, staf ICT MTNP - 15 dirham
  • Shahdan, pelajar UIA Kuantan - 12 dirham
  • Puan Rozita, suri rumah - 10 dirham
  • Ucu, Mak Su dari isteri saya - 2 dirham
  • Ramadhan, pelajar tingkatan 1 MTNP - 4 dirham
  • Hilmi Hamdan, pelajar UIA Kuantan - 14 dirham
  • Ustazah Salma, guru bahasa Arab USIM - 25
  • Puan Atriza, penulis - 5 dirham
  • Ustazah Mashitoh, Guru SMK Beserah - 7 dirham
  • Hariz, pelajar tingkatan 1 MTNP - 1 dirham
  • Teacher Hikmah, Guru bahasa Inggeris Maahad Saiyidah Khadijah - 5 dirham
  • Badrul Amin, pelajar tingkatan 2 MTNP - 7 dirham
  • Hazim, pelajar tingkatan 2 MTNP - 2 dirham
  • Iqbal, pelajar tingkatan 1 MTNP - 2 dirham
  • Kamarul, pelajar diploma MTNP - 1 dirham
  • Ustaz Amin, pensyarah MTNP - 20 dirham
  • Ustaz Fadhli, pensyarah DQ JAKIM- 3 dirham
  • Lukman, pelajar tingkatan 1 MTNP - 1 dirham
  • Anas Amri, pelajar diploma MTNP - 20 dirham
  • Selebihnya masih dalam simpanan saya
Walaupun ada di antara mereka yang hanya menukar wang fiat mereka dengan 1 dirham, maka itu lebih baik daripada tidak sama sekali. Untuk itu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menukarkan wang fiat meraka dengan dirham dari saya.

Semoga dengan pertukaran wang fiat kepada wang sunnah ini, selain mendapat keuntungan dari aspek duniawi, kita juga turut mendapat keuntungan dari aspek ukhrawi. Amin!

09 April 2011

BAGAIMANA MENYIMPAN WANG DENGAN BIJAK?

Salah satu cara untuk menjadi kaya adalah dengan menyimpan wang. Tetapi menyimpan wang sahaja tidak boleh membuat seseorang menjadi kaya. Untuk menjadi kaya, selain perlu menyimpan wang seseorang perlu melaburkan wangnya tersebut supaya boleh menghasilkan pulangan yang maksimum. Di bawah ini saya cuba membuat gambaran tentang beberapa kaedah dalam menyimpan sekaligus melabur wang.

Menyimpan Wang di Bank

Dividen yang boleh diberikan oleh bank ialah sebanyak 3% setahun. Jika pada awal tahun seseorang menyimpan wang RM 10 000 di dalam bank, dengan kadar keuntungan 3% setahun, maka pada akhir tahun wangnya akan menjadi RM 10 300 sahaja.

Menyimpan Wang di Tabung Haji

Pada kebiasaannya Tabung Haji memberikan dividen lebih dari 5% setiap tahun. Dan itu sudahpun termasuk potongan zakat sebanyak 2.5%. Dividen Tabung Haji bagi tahun 2010 adalah 5.5%. Bermakna jika pada awal tahun 2010 seseorang menyimpan wang RM 10 000 di Tabung Haji, maka pada akhir tahun 2010 wangnya akan menjadi RM 10 550. Ini lebih baik berbanding menyimpan wang di bank.

Menyimpan Wang dalam Bentuk Emas

Jika seseorang menukar RM 10 000 dalam bentuk eams pada awal tahun 2010, maka pada akhir tahun 2010 nilai RM 10 000 tersebut akan menjadi (lebih kurang) RM 12 623 memandangkan kenaikan harga emas pada tahun 2010 adalah 26.30% menurut goldprice.org.
Menyimpan Wang dalam Bentuk Perak

Sekiranya pada awal tahun 2010 RM 10 000 tersebut ditukar kepada perak, mengikut graf di bawah yang bersumber dari silverprice.org, maka pada akhir tahun 2010 nilainya akan menjadi (lebih kurang) RM 17 068, berdasarkan kenaikan harga perak sebanyak 70.68% pada tahun itu.
Jadi, bagaimanakah kaedah menyimpan wang dengan bijak? Anda sendiri yang berhak menentukannya. Saya dan isteri menyimpan wang menggunakan keempat kaedah di atas. hanya saja peruntukan menyimpan dalam bentuk emas dan perak lebih banyak berbanding yang lainnya.


P/s:

Gambaran di atas hanya merupakan gambaran kasar. Kerana kalau dikaji lebih mendalam maka kadar keuntungan yang didapat boleh jadi lebih sedikit atau lebih banyak dari apa yang digambarkan di atas. Tujuan saya membuat gambaran secara kasar adalah bagi memudahkan pembaca dalam memahami isu yang hendak disampaikan.

Dalam membuat simpanan atau pelaburan, kita perlu mengambil kira kadar inflasi. Jika mengambil kira kadar inflasi sebanyak 5% dalam setahun, maka pelaburan yang memberi kadar keuntungan kurang dari 5% sebenarnya adalah pelaburan yang merugikan.

Saya sendiri menyimpan wang di bank, Tabung Haji serta dalam bentuk emas dan perak. Tapi sebahagian besar simpanan saya dalam bentuk emas dan perak. Simpanan wang di bank untuk sara hidup dan pusingan modal. Simpanan wang di Tabung Haji untuk kecemasan. Simpanan dalam bentuk emas dan perak adalah simpanan yang sebenarnya. Wallahu ta'ala a'lam.

07 April 2011

DIRHAM KELANTAN SEBAGAI PELABURAN?

Saya mohon maaf kepada para pembaca sekalian kerana begitu lama (lebih kurang hampir sebulan) tidak mengemas kini blog ini. Saya mohon doa daripada sekalian pembaca semoga saya terus diberi kekuatan untuk meneruskan perkongsian. Semoga perkongsian yang sedikit ini dinilai sebagai amal soleh di sisi Allah SWT. Amin!
Dalam entry ini saya cuba menjawab persoalan dalam entry PERAK SEBAGAI ALTERNATIF PELABURAN. Dalam entry tersebut saya ada menyebut bahawa saya melabur perak dalam bentuk Dirham Kelantan. Ada beberapa pertimbangan yang menyebabkan saya berpandangan seperti itu. Di antaranya ialah:
  • Dirham Kelantan adalah dibuat oleh WIM (World Islamic Mint) di Dubai dengan menggunakan standard yang ditentukan oleh Khalifah Umar Bin Al-Khattab R.A. dan memiliki kualiti yang sangat baik serta reka bentuk yang sangat cantik.
  • Dirham Kelantan dijual dengan harga yang murah dan mampu milik. Harga dirham pada hari ini hanya RM 26. Tentu Anda sekarang memiliki RM 26 yang boleh ditukar dengan dirham. Bahkan beberapa orang pelajar tingkatan 1 di tempat saya berkhidmat sudahpun menukar sebahagian simpanan wang fiat mereka dengan dirham. Saya sendiri mula membeli Dirham Kelantan sebanyak 5 x 2 dirham. Ketika itu harganya masih RM 20/dirham.
  • Sangat liquid (mudah digunakan) berbanding dirham lain mahupun jenis produk perak yang lain. Kita boleh menjualnya dengan mudah (mungkin sebab harganya yang murah) dan juga boleh terus menggunakannya untuk tujuan muamalat. Pengalaman saya pada hujung minggu lepas (2/4), saya telah membeli sebanyak 235 dirham. Pada hari ini (7/4), simpanan dirham saya tinggal sedikit. Sebahagian besar dirham tersebut telah dibeli oleh ahli keluarga, kawan-kawan dan pelajar-pelajar saya. Sebahagian lainnya saya gunakan untuk tujuan muamalat. Semalam (6/4) saya baru sahaja menempah 200 dirham lagi. :)
  • Tiada spread (perbezaan antara harga beli dan jual kembali). Kelebihannya, kita boleh menjualnya dengan mudah mengikut harga WIM yang dikemaskini setiap hari sekali.
  • Kenaikan harga yang cepat mengikut harga pasaran perak dunia. Mari kita fikirkan bersama. Ketika mula-mula dilancarkan pada bulan Ramadhan 1431 H bersamaan bulan Ogos 2010, harga Dirham Kelantan adalah RM 13. Sekarang bulan Jamadi al-Awwal 1432 H bersamaan April 2011, harganya adalah RM 26. Kenaikan 100% dalam masa 8 bulan sahaja. Jika melabur wang fiat dalam bentuk atau tempat yang lain, perlu waktu bertahun-tahun untuk mendapatkan keuntungan sebanyak 100%. :)
Walau bagaimanapun Dirham Kelantan bukanlah pelaburan perak yang terbaik. Kerana tujuan asal pengeluarannya adalah untuk muamalat, bukannya pelaburan. Selain itu, jika dihitung mengikut gram, setiap gram Dirham Kelantan berharga RM 8.74. Padahal spot price perak hanya RM 3.84/gram ( mengikut Nubex ) pada saat entry ini ditulis.

RM 8.74 - RM 3.84 = RM 4.90

Setiap gram Dirham Kelantan lebih mahal RM 4.90 dari spot price perak. Sememangnya spot price belum termasuk kos pembuatan, menyimpan, perlindungan, pengangkutan dan juga keuntungan pengeluar serta pengedar. Tapi salah satu pertimbangan dalam memilih produk perak yang paling baik adalah harga yang paling hampir dengan spot price. Jika boleh mendapat harga yang lebih murah, maka itu lebih baik untuk pelaburan. :)

Jadi saya peribadi berpandangan kalau ada wang kurang dari RM 1k, Dirham Kelantan boleh menjadi pilihan alternatif. Tapi kalau ada wang lebih dari RM 1k, belilah jongkong perak. Saya sendiri memilih jongkong perak Public Gold 250 gram. Dan kalau ada wang lebih dari RM 4k, belilah jongkong perak Pamp Suisse 1kg. :)

Wallahu ta'ala a'lam.

06 Mac 2011

PELANCARAN DINAR DARUL MAKMUR

Majlis pelancaran Dinar Darul Makmur telah dilangsungkan pada 3hb Mac 2011. Petanda berkembangnya pengaruh dinar emas telah menawan hati penduduk Negeri Pahang. Majlis yang sederhana tersebut dirasmikan oleh Dato' Setia Pahlawan Tengku Dato Hj Iskandar Abu Bakar bin Tengku Ali. Dato' Setia sempat mengajak peserta majlis pada malam tersebut untuk menyimpan emas.

Selepas upacara perasmian, penceramah undangan pada malam tersebut Syeikhul Maqari Hj. Othman bin Hamzah, panel syara' Amsyiq Gold Enterprise, menyentuh pentingnya umat Islam menukarkan simpanan wang kertas dalam bentuk emas. Beliau menyatakan pentingnya umat Islam menjadi kaya, supaya umat Islam dapat menyempurnakan kelima-lima rukun Islam termasuklah haji dan zakat harta. Sepatutnya umat Islam hendaklah memiliki tangan di atas bukannya tangan di bawah.

Seruan dakwah kepada emas juga adalah jihad ekonomi bagi melemahkan kuasa dolar yang mencengkam ekonomi umat Islam. Di penghujung majlis para peserta dapat melihat pameran dinar emas dan membuat pembelian.

Berminat untuk memiliki Dinar Darul Makmur? Sila layari dinardarulmakmur.blogspot.com untuk melihat harga semasa dan menghubungi wakil jualan.

10 Februari 2011

TIDAK MAMPU MELABUR EMAS

Tulisan kali ini adalah rangkain daripada tulisan sebelumnya, iaitu TIDAK TAHU MELABUR EMAS dan TIDAK MAHU MELABUR EMAS.

Emas adalah logam mulia yang sangat bernilai. Oleh sebab itu harganya lebih mahal berbanding logam lain. Untuk memiliki emas, seseorang perlu membayar harganya yang mahal. Dan tidak semua orang bersedia melakukannya. Adakah masalah tidak cukup wang menjadi punca seseorang tidak melabur?

Saya peribadi berpandangan bahawa semua orang sebenarnya mampu untuk melabur emas. Masalah wang bukanlah punca utama seseorang untuk tidak melabur. Apa yang menghalang seseorang untuk melabur hanyalah masalah sikap (attitude). Untuk penjelasan lebih lanjut tentang sikap, sila baca kutipan berikut ini:
"It is difficult but it is possible" or "it is possible but it is difficult."
Sepintas lalu ayat di atas serupa tapi sebenarnya tidak sama. Ayat yang pertama menggambarkan sikap yang positif manakala yang kedua adalah sebaliknya.

Orang yang memiliki sikap positif sentiasa berusaha melepasi tembok yang menghalangnya dengan berfikir bahawa setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Manakala orang yang memiliki sikap negatif sentiasa meletakkan tembok penghalang bagi masalah yang dihadapinya dengan berfikir bahawa walaupun masalah mungkin untuk diselesaikan tetapi ia sukar untuk diselesaikan. Khabar baiknya, setiap orang boleh merubah sikapnya menjadi positif jika dia mahu.

Jadi, walaupun untuk masa sekarang masalah kewangan mungkin adalah salah satu masalah yang menghalang seseorang untuk melabur namun jika dia memiliki sikap yang positif masalah tersebut hanya menunggu masa sahaja untuk diatasi.

Tahniah kepada semua yang telah mula melabur emas! Bagi yang belum, mulakan segera langkah emas Anda! Bak kata Adnan Sempit, "Di mana ada kemahuan, di situ ada high way." :)

11 Januari 2011

KENAPA MELABUR PERAK?

Anda akan mendapat jawapan dari soalan di atas dengan menonton video di bawah ini.




Dalam video di atas, Tuan Robert T Kiyosaki menyebeutkan beberapa perkara, anataranya ialah:
  • Perak adalah salah satu wang dari Tuhan, seperti juga emas.
  • Pada tahun 1971, duit kertas tidak lagi disandarkan pada emas dan perak.
  • Cash is trash. Duit kertas seperti sampah.
  • Harga perak lebih murah berbanding emas.
  • Dollar (dan wang fiat lainnya) akan terus jatuh, manakala yang lain akan terus naik.
  • Perak banyak digunakan untuk industri seperti cell phone, telefon, komputer, barangan elektrik dan lain-lain.
  • Menurut hukum ekonomi supply & demand, kenaikan harga perak lebih tinggi berbanding emas.

01 Januari 2011

BAGAIMANA MEMILIH EMAS PELABURAN?

Ketika saya memutuskan untuk mula melabur emas, perkara pertama yang mesti saya lakukan adalah membeli emas. Saya telah membuat sedikit kajian tntang bagaimana produk yang paling baik untuk pelaburan. Kajian ini penting bagi meningkatkan keuntungan serta mengelakkan kerugian dalam apa jua pelaburan yang hendak dibuat.

Saya meletakkan beberapa syarat tertentu sebelum membeli emas, antaranya ialah:

Harga (premium) yang murah
Pertama sekali kita perlu mengetahui berapa harga semasa (spot price) emas. Pada kebiasaanya orang akan melihat harga semasa (spot price) di laman web www.kitco.com. Tapi saya lebih suka melihat di laman web goldprice.org atau Nubex. Bagaimanapun, tidak ada orang yang menjual emas pada harga semasa (spot price). Ini kerana harga tersebut belum termasuk kos pembuatan, menyimpan, perlindungan, pengangkutan dan juga keuntungan pengeluar serta pengedar. Perbezaan antara harga semasa (spot price) dan harga jualan disebut sebagai premium. Jadi, harga emas yang murah adalah harga emas yang paling hampir dengan  harga semasa (spot price) ataupun dengan kata lain memiliki premium yang rendah.

Spread yang paling rendah
Harga emas yang murah dan premium yang renda belum tentu baik untuk pelaburan. Untuk mendapatkan keuntungan lebih cepat dan banyak, spread (perbezaan harga belian dan jualan) yang rendah adalah salah satu perkara yang perlu menjadi pertimbangan dalam memilih emas. Semakin rendah spread, maka semakin baik dan menguntungkan bagi pelaburan.

Mudah dijual
Perkara yang terakhir adalah emas itu mudah untuk dijual kembali. Kerana tiada gunanya kita membeli emas dengan harga yang murah serta spread yang rendah tetapi ketika hendak menjualnya kembali untuk mendapatkan keuntungan, sangat susah untuk mendapatkan pembeli. Selalunya kita akan menjual emas ketika harga sedang tinggi, tapi siapakah yang mahu membeli emas pada masa itu dengan harga yang berpatutan dengan kadar segera sebelum harga emas kembali jatuh? Apatah lagi emas yang hendak dijual dalam jumlah yang besar.
Saya telahpun berkongsi 3 perkara yang perlu ada pada sesebuah produk emas bagi tujuan pelaburan. Sekarang saya akan berkongsi maklumat tentang emas pilihan saya. Saya memilih emas keluaran Public Gold sebagai emas pelaburan saya memandangkan produk-produknya memenuhi ketiga perkara di atas. Sekiranya ditanya lebih lanjut produk yang mana satu menjadi pilihan saya, maka jawapan saya adalah 1 dinar Public Gold. Sebagai Priority Dealer Public Gold, saya kadar spread saya bagi 1 dinar hanya 4% sahaja. :)

Wallahu ta'ala a'lam.

Bagaimana dengan Anda? Sila kongsikan pandangan Anda pada ruang komentar yang tersedia di bawah.

Related Posts with Thumbnails

  ©HIKMAH GOLD - Todos os direitos reservados.

Template by Dicas Blogger | Topo