KAYA DI DUNIA, BAHAGIA DI SYURGA
Dan cari apa yang dianugerahkan oleh Allah kepadamu akan negeri akhirat dan jangan lupabahagianmu di dunia. Dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Qasas: 77)
Menjadi orang kaya adalah impian ramai orang. Tapi menjadi orang kaya yang bertaqwa adalah suatu pilihan. Oleh itu kita dapat melihat ada orang kaya yang memilih menjadi orang kaya yang bertaqwa dan selebihnya menjadi kaya dengan berbagai cara tanpa mengambil berat halal dan haram.
Bercita-cita untuk menjadi orang kaya sehingga kekayan tersebut boleh digunakan untuk beramal soleh lebih banyak bukan angan yang sia-sia. Bahkan walau sekadar angan, hal tersebut telah mendapat nilai di sisi Allah. Sebagaimana sabda baginda SAW, "Menanti-nanti (dengan harap) kelapangan (sehingga boleh beramal soleh) adalah suatu ibadah." (H.R. Bukhari)
Sebaliknya, Rasulullah SAW memperingatkan bahaya kefaqiran dalam sabdanya, "Kefaqiran itu lebih dekat kepada kekufuran." (H.R. Baihaqi). Saidina Ali KW pula menyebutkan, "Sekiranya wujud kemiskinan sperti manusia, maka aku akan membunuhnya."
Namun pada akhir zaman ini untuk menjadi kaya dengan cara yang halal bukan perkara yang mudah, walaupun tidak mustahil. Oleh sebab itu, hanya orang yang bertaqwa sahaja yang memilih jalan yang selamat dengan meninggalkan cara yang syubhat apatah lagi cara yang tidak halal seperti riba, rasuah, menipu atau berjudi.
Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman "Syaitan menjanjikan (membuat takut) dengan kefaqiran dan menyuruhmu untuk berbuat buruk (supaya tidak faqir)." (al-Baqarah: 268)
Boleh jadi orang yang terlibat dengan cara-cara yang tidak halal tergolong ke dalam golongan yang disebutkan pada ayat di atas.
Semoga dalam perjalanan menjadi orang kaya kita terhindar dari cara-cara yang syubhat dan haram. Dan semoga Allah memudahkan jalan kita dengan hanya memilih cara yang halal supaya rezeki yang kita dapat berkat dan akhirnya menjadi orang yang kaya di dunia serta kelak bahagia di syurga. Amin!
Tinggalkan yang haram! Maka Allah akan menggantinya dengan yang halal dan lebih baik.
Seja o primeiro a comentar
Catat Ulasan